fbpx

Rancang strategi terbaik buat Norliyana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORLIYANA

JURULATIH olahraga negara, Muhamad Malik Ahmad Tobias sedang merangka strategi tersusun bagi memastikan atlet heptatlon negara, Norliyana Kamaruddin tampil dengan prestasi terbaik menjelang Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember nanti.

Menurut Malik, pihaknya menyasarkan penyertaan Norliyana dalam sekurang-kurangnya empat kejohanan kompetitif sepanjang tahun ini sebagai persiapan terutama mendapatkan lompatan terbaik dalam acara kegemarannya, lompat tinggi.

Strategi itu dibentuk susulan kejayaan Norliyana meraih pingat emas Terbuka Thailand, sekali gus menunjukkan perkembangan positif selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut serius yang dialami sebelum ini.

“Norliyana memang kita siapkan khusus untuk acara lompat tinggi di Sukan SEA. Tahun lalu, fokus kami sepenuhnya adalah terhadap proses pemulihannya.

“Pingat emas dengan lompatan 1.75 meter (m) di Thailand adalah satu permulaan yang sangat baik dan membantu meningkatkan keyakinannya.

“Fokus kami bukan hanya pada kemenangan, tetapi kepada penyesuaian dalam suasana pertandingan dan membina semula keyakinannya. Kami tidak mahu terburu-buru,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.

Tambah Malik, matlamat utama ketika ini adalah membina semula prestasi pemegang rekod heptatlon kebangsaan itu secara berperingkat tanpa memberi tekanan berlebihan yang boleh mengundang semula risiko kecederaan.

Mengulas mengenai saingan di Sukan SEA, Malik menjangkakan atlet lompat tinggi Thailand akan menjadi pencabar utama berdasarkan rekod semasa mereka yang mampu melakukan lompatan antara 1.80m hingga 1.83m.

Walaupun rekod peribadi Norliyana adalah 1.82m, Malik menegaskan pendekatan berhati-hati tetap perlu bagi memastikan atletnya kekal cergas dan tidak berdepan tekanan yang tidak perlu.

“Sasaran awal untuk konsisten melepasi paras 1.76m hingga 1.78m dalam beberapa kejohanan akan datang. Dia sudah hampir mencapai semula tahap 1.80m dan potensi itu masih ada.

“Sekiranya mampu membuat lompatan setara dengan pesaingnya pada hari pertandingan, saya yakin tiada apa yang mustahil. Apa yang penting adalah kekuatan mental dan prestasi pada hari kejohanan itu sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI