PELUMBA muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan berazam mengekalkan penguasaannya selaku pendahulu keseluruhan Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) menjelang Pusingan 3 di Litar Motorland Aragon, Sepanyol hujung minggu ini.
Pelumba berusia 13 tahun yang mewakili pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly itu tiba di Aragon dengan semangat juang tinggi selepas mencipta kemenangan di Catalunya minggu lalu.
Anak jati Terengganu itu optimis memberikan persembahan terbaik memandangkan telah turun membuat sesi ujian di sepanjang litar 5.3 kilometer tersebut.
“Saya tidak sabar untuk memulakan minggu perlumbaan. Jangkaan saya, saingan kali ini akan sengit seperti di pusingan kedua, tetapi saya lebih yakin kerana kami sudah melakukan ujian persendirian di litar ini dua minggu lalu.
“Secara peribadi, saya mendapati litar ini menarik dan sasaran saya adalah untuk mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan minggu ini,” katanya.
Sebagai persediaan, Qabil memilih untuk kekal berlatih di Sepanyol selepas pusingan kedua dan menjalani latihan intensif di Tarragona bersama rakan senegara, Hakim Danish Ramli.
Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, meskipun ini adalah kemunculan pertama Qabil di Litar Aragon, namun sesi ujian tertutup sebelum ini memberikan banyak maklumat penting untuk pelarasan jentera serta strategi perlumbaan.
“Litar ini mempunyai karakter mirip Litar Catalunya dengan laluan lurus yang panjang. Oleh itu, strategi amat penting, terutama untuk memastikan pelumba berada di posisi terbaik sebelum memasuki selekoh terakhir.
“Kami yakin dengan potensi Qabil dan berharap dapat mengekalkan momentum cemerlang serta membawa pulang keputusan membanggakan buat Malaysia,” katanya.