PETALING JAYA – Malaysia dan Indonesia sepakat sebulat suara bersetuju untuk mempercepatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kebudayaan demi manfaat bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah mempergiat kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang pertukaran pengetahuan, peningkatan perdagangan, dan pelaburan serta pemerkayaan budaya kedua-dua negara.
Menurutnya, dalam semangat saling percaya, kedua-dua negara turut berazam untuk menyelesaikan isu-isu sempadan yang masih tertangguh dengan segera.
“Penyelesaian tuntas masalah sempadan termasuk isu maritim yang berlarutan menjadi keutamaan bersama agar kepentingan besar persahabatan dan kerjasama erat Malaysia-Indonesia sentiasa terpelihara.
“Pendekatan menang-menang (win-win solution) ini diharap dapat memperkukuh keyakinan dan kepercayaan antara kedua-dua negara tetangga serumpun,” katanya pada hantaran Facebook.
Anwar berkata, sebagai dua negara pengasas ASEAN, Malaysia dan Indonesia menegaskan komitmen teguh untuk memastikan perpaduan serantau terus dipelihara dan kestabilan ASEAN dikekalkan.
“Kami sependapat bahawa ASEAN yang bersatu padu dan stabil amat penting dalam menghadapi cabaran global semasa, sama ada dari segi ekonomi, politik mahupun keselamatan.
“Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak mempertegas bahawa kerjasama serantau harus diperkukuh, selaras dengan semangat kejiranan dan keutuhan ASEAN demi Asia Tenggara yang aman, makmur dan berdaya saing.
“Lantas hubungan erat Malaysia-Indonesia akan terus dijadikan teladan dan pemangkin kepada kesatuan ASEAN yang lebih utuh, demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara dan rantau secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, usai pertemuan tertutup bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto semalam dalam rangka lawatan rasmi, kedua-dua mereka telah memberi kenyataan secara bersama.
Katanya, ia merumuskan hasil perbincangan secara mendalam mencakup perkara dua hala Malaysia-Indonesia, isu serantau ASEAN, hingga ke permasalahan tantangan global.
“Kami bertukar pandangan secara terbuka dan mendapati bahawa Malaysia dan Indonesia berkongsi pendirian yang sama dalam menangani isu-isu tersebut.
“Keserasian di sudut pandang ini mencerminkan hubungan persahabatan yang akrab serta hubungan strategik yang terjalin kukuh antara kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE