fbpx

CWC: City kembali temui sentuhan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAN. CITY berada dalam landasan tepat selepas berpesta gol membelasah Juventus 5-2 semalam. - AFP

ORLANDO – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola yakin pasukannya sudah kembali menemui sentuhan emas selepas menewaskan Juventus 5-2 dalam aksi terakhir Kumpulan G saingan Piala Dunia Kelab semalam.

Pada perlawanan di Stadium Camping World itu, The Citizens meraih lima gol hasil penyudah Jeremy Doku, Erling Haaland, Phil Foden, Savinho dan jaringan sendiri pemain lawan, Pierre Kalulu untuk merekodkan kemenangan bersih dalam tiga aksi peringkat kumpulan.

Menurut Guardiola, tiga kemenangan diraih pada kejohanan itu membuktikan bahawa mereka sudah melupakan aksi tidak konsisten dipamerkan di peringkat domestik dan Eropah musim lalu.

“Sudah lama kami tidak mempamerkan aksi dominan seperti ini. Semua pemain memberikan 100 peratus di atas padang untuk memastikan kami dapat menang ke atas pasukan yang hebat seperti Juventus.

“Namun, masih ada beberapa perkara perlu diperbaiki tetapi segalanya begitu positif. Pemain juga cukup bersemangat untuk buktikan semula keupayaan mereka di peringkat tertinggi seperti beberapa tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, Guardiola turut gembira apabila pemain tengah, Rodri dapat diturunkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama selepas hampir 10 bulan tanpa menghadapi sebarang masalah sejak mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) tahun lalu.

“Saya tidak boleh menghalang Rodri kerana dia sudah bersedia untuk berada dalam kesebelasan utama. Dia antara pemain terbaik di dunia dan cukup penting buat pasukan kami,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI