PETALING JAYA – Barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Musolla Halaman 11, Telok Panglima Garang menegaskan, tindakan seorang wanita menghalau individu lain daripada menggunakan fasiliti surau tersebut bukan daripada persetujuan pihak berkenaan.
Menerusi kenyataan dikongsikan pada Facebook Musolla Halaman 11, pihak berkenaan juga telah pun berjumpa dengan pengurusan badan pengurusan bersama (JMB) bagi menyelesaikan keadaan.
“AJK Musolla amat mengharapkan kehadiran sesiapa sahaja bagi mengimarahkan musolla (surau). Tindakan menghalau berkenaan amat kami kesali dan kami bantah sekeras-kerasnya.
“Pendirian kami jelas, musolla boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk beribadat atau berehat sebentar. Tindakan untuk kunci musolla sama sekali tidak akan berlaku,” katanya hari ini.
Pihak terbabit menjelaskan, bil api dan bil air juga adalah atas tanggungan musolla sendiri hasil daripada infak orang awam.
“Status musolla sebagai harta bersama penduduk itu adalah benar. Namun untuk tujuan ibadah, AJK tetap buka kepada semua.
“Seperti sedia maklum, bagi memasuki kawasan Halaman 11 perlu melepasi palang (untuk jemaah luar kawasan H11). Ada prosedur keselamatan yang perlu dibuat sebelum masuk.
“Akhir kata, ayuh sebarkan kebaikan dan sama-sama menjaga keharmonian. Jika ada sebarang persoalan boleh terus berhubung dengan AJK,” ujarnya.
Sementara itu, hantaran terkini pada Facebook tersebut memaklumkan, perakam yang merakam kejadian tersebut juga bukan AJK surau berkenaan.
Kosmo! melaporkan, tindakan seorang wanita menegur seorang jemaah lelaki yang sedang beribadah di sebuah surau di kawasan perumahan mencuri perhatian ramai.
Menerusi video yang tular, tindakan wanita itu meminta jemaah tersebut beredar walaupun hanya hadir untuk solat disifatkan tidak wajar dan bertentangan dengan peranan surau sebagai tempat ibadah untuk semua umat Islam.
Malah, alasan yang diberikan oleh wanita tersebut dipercayai berlaku kes kecurian di surau tersebut baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE