KUALA LUMPUR – Pernah bergelar pengarah dan aktor terbaik, siapa sangka Nam Ron yang sudah lebih dua dekad berkarier sebagai anak seni sebenarnya mudah gugup dan berdepan masalah lupa skrip apabila berada di atas pentas teater.
Berbeza dengan lakonan depan kamera, Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 55, mengakui ada ‘jurang’ antara dirinya dan penonton setiap kali beraksi dalam naskhah teater.
“Saya mudah gugup apabila berada di pentas dan lupa skrip yang telah dihafal serta-merta.
“Saya masih ingat ketika menjayakan pementasan di mana watak yang dibawa perlukan saya baca doa. Saya hafal semua doa, tetapi, apabila naik ke pentas dan angkat muka, saya nampak penonton yang wajahnya persis U-Wei.
“Lantas terus hilang doa yang saya hafal. Namun, akhirnya, saya pilih untuk atasi ketakutan dan sahut cabaran demi teater Persiapan Seorang Aktor,” katanya.
Tambah pelakon filem La Luna itu, dia kembali terlibat dalam pementasan teater bagi mencabar diri dan menganggap sebagai satu peluang baginya.
“Bila difikirkan semula, ada kebaikannya untuk saya kembali melakonkan teater. Berlakon untuk teater ini bantu saya menambah baik lakonan, kawal diri.
“Ini juga satu proses untuk menambah baik lakonan saya. Teater ajar diri saya untuk kawal rasa gugup ketika berada di pentas,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar teater Persiapan Seorang Aktor, baru-baru ini.
Menerusi teater terbitan Juan Ab. Aziz arahan Syahrul Musa berkisarkan obsesi dan perjuangan anak seni dalam dunia lakonan tersebut, Nam Ron melakonkan watak bernama Razak.
Naskhah Persiapan Seorang Aktor sebelum ini mendapat pengiktirafan Best Original Script & The Best Of 2024 di 20th BOH Cameronian Arts Awards.
Karya berkenaan akan dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya, selama empat hari mulai 17 Julai ini.
Selain Nam Ron, teater ini menampilkan pelakon Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin.
Persiapan Seorang Aktor menyelongkar kisah seorang pelakon lelaki yang obses untuk mencapai kesempurnaan dalam lakonan, bukan sahaja sebagai aktor terbaik di Malaysia, malah, melangkaui kehebatan legenda seni pentas dunia.
Untuk tiket, tempahan boleh dibuat di www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM78 dan RM98. – KOSMO! ONLINE