BESUT – Gara-gara terlalu takut digertak sindiket penipuan, seorang remaja perempuan terdesak menjual barangan kemas ibunya sehingga kerugian RM62,000.
Mangsa berusia 19 tahun tersebut yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini pada pukul 12 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu berkata, pada awalnya, remaja perempuan itu telah dihubungi suspek yang mengaku kononnya pegawai sebuah syarikat penyedia e-dompet.
“Suspek mendakwa kononnya bapa mangsa memiliki saman berjumlah keseluruhan RM25,000 berkaitan kesalahan transaksi akaun e-dompet terbabit. Mangsa yang mula panik kemudiannya telah disambungkan panggilan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azamuddin berkata, remaja perempuan itu terus ditakutkan kononnya dia turut terlibat dalam kes jenayah penggubahan wang haram dan dadah setelah MyKad miliknya diperiksa. – KOSMO! ONLINE