IPOH – Tokoh Maal Hijrah Perak 1447H, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd. Badiuzzaman, 43, mendedikasikan anugerah yang diterimanya kepada Allahyarham bapa, Syed Mohd. Badiuzzaman Syed Lope Al-Yahya.
Sharifah Khasif berkata, Allahyarham bapanya itu merupakan tulang belakang utamanya dalam perjalanan mendalami al-Quran.
“Anugerah ini untuk ayahanda saya, kalau dia masih ada pasti dia yang paling (gembira). Saya masih ingat pesanan Allahyarham kalau kita jadi ahli al-Quran, insya-Allah kita akan dapat apa yang kita mahukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri di Casuarina@Meru, di sini semalam.
Pada majlis itu, beliau menerima hadiah yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berupa wang tunai RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang naik ke pentas untuk menerima Anugerah Tokoh Ar Ridzuan bagi pihak ibunya, Allahyarham Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor berkata, pengiktirafan tersebut mewakili perjuangan wanita itu sebagai seorang pendidik, pejuang undang-undang Islam dan pemberdayaan wanita.
Beliau berkata, ibunya yang merupakan anak jati Perak berasal dari Pengkalan Hulu itu merupakan seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – KOSMO! ONLINE