ISKANDAR PUTERI – Sektor perdagangan dan pengedaran terus berkembang setelah merekodkan nilai jualan sebanyak RM1.766 trilion, pada tahun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Amrizan Mohd. Ali berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan nilai jualan RM1.67 trilion.
Beliau berkata, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 yang bertemakan Jom Beli Lokal akan memanfaatkan trend pertumbuhan industri perdagangan pengedaran yang semakin berkembang.
“Nilai jualan yang begitu besar itu, kita boleh selaraskan bagaimana kita dapat mengetengahkan dan membawa produk tempatan menerima manfaat dalam sektor perdagangan dan peruncitan.
“Ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat, para usahawan dan perusahaan mikro, kecil, sederhana (PMKS) sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2025 Zon Selatan di Puteri Harbour, di sini hari ini.
Armizan berkata, tiga platform pengendali e-dagang iaitu TikTok, Shopee dan Lazada telah menjana jualan lebih RM347 juta di bawah KBBM. – KOSMO! ONLINE