PEMAIN kebangsaan terus menarik perhatian kelab-kelab di luar negara selepas bekas penyerang Sri Pahang, Sergio Aguero dilaporkan bakal berkelana ke saingan Liga Thailand untuk menyertai Kanchanaburi Power FC musim depan.
Perkara ini telah disahkan presiden kelab, Prawat Kithammakunnit yang mendakwa pemain naturalisasi negara itu bersetuju untuk menyarung jersi pasukannya dan akan melapor diri minggu depan.
“Sergio Aguero akan datang pada 2 Julai,” tulis Prawat Kithammakunnit di laman Facebook peribadinya.
Situasi tersebut sekali gus menyaksikan masa depan Aguero terjawab selepas dikaitkan berhijrah ke Kelantan Darul Naim (KDN FC) dan Brunei DPMM FC selepas Sri Pahang tidak menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Saingan di negara Gajah Putih itu dilihat serasi kerana beberapa pemain negara turut mencuba nasib di sana seperti Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United), Shahrel Fikri Md. Fauzi (Nakhon Ratchasima), Dominic Tan (Police Tero) dan Fergus Tierney (Chonburi FC).
Keputusan Aguero turut menambah lagi bilangan pemain Malaysia yang berkelana ke luar negara ketika ini selain Dion Cools yang menjadi pemain pertama negara mewakili kelab divisyen utama Liga Jepun bersama Cerezo Osaka.
Selain itu, beberapa pemain yang memiliki darah Malaysia turut menabur bakti dengan pasukan luar negara seperti Rodrigo Holgado (America de Cali/Liga Colombia), Imanol Machuca (Atletico Velez/Liga Argentina) dan Facundo Garces (Alaves/La Liga).
Empat lagi pemain melengkapkan senarai adalah Endrick Dos Santos (Ho Chi Minh City/Liga Vietnam), Joao Figueiredo (Istanbul Basaksehir/Liga Turkiye), Richard Chin (Raith Rovers/Liga Scotland), Wan Kuzain Wan Kamal (St. Louis City 2/MLS Next Pro).