fbpx

Langganan sooka naik sekali ganda, 1.1 juta pengguna aktif bulanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YOUNG LEE bersama Ketua Platform Penstriman Digital, Dinesh Immanuel (kiri); Pengarah Komunikasi & Kelestarian, Foo Su Lynn (dua kiri); Ketua Pegawai Teknologi, Mauro Di Pietro Paulo (dua kanan); dan Ketua Pemasaran dan Jualan Sooka, Tai Kam Leong.

KUALA LUMPUR – Menginjak usia empat tahun penubuhan sejak dilancarkan secara rasmi pada 8 Jun 2021, perkhidmatan penstriman terkemuka di Malaysia, sooka kian menjadi pilihan rakyat Malaysia.

Sempena ulang tahun ke-4, pelbagai pengumuman menarik dibuat, termasuk penaiktarafan teknologi, ganjaran kepada pe­langgan dan tawaran masa terhad.

Platform itu telah mencatatkan pertumbuhan 100 peratus tahun ke tahun dalam bilangan pelanggan berbayar dan kini menduduki tempat pertama bagi kategori aplikasi sukan, serta antara lima aplikasi dengan pendapatan tertinggi di Google Play Store Malaysia.

Pengarahnya, Chu Young Lee berkata, sooka terus komited untuk menghubungkan rakyat Malaysia melalui sukan dan hiburan Asia dengan menjadikannya lebih mudah diakses oleh semua, sejajar dengan teknologi terkini terma­suk kecerdasan buatan (AI).

“Pihak kami akan meneroka teknologi AI dari masa ke masa merangkumi penyediaan sarikata, alih suara dan enjin carian, atau rekomendasi di dalam platform.

“Barangkali pada masa depan, kami akan menyediakan fungsi suntingan di sooka yang selari de­ngan kemajuan teknologi masa kini,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-4 sooka di Astro, Bukit Jalil baru-baru ini.

Ditanya tentang kestabilan kewangan sooka sejak awal penubuhan sehingga sekarang, Young Lee memaklumkan, setakat ini, sooka menunjukkan prestasi yang memberangsangkan tahun demi tahun.

“Pihak kami belum lagi mengumumkan soal keuntungan, namun berdasarkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), sooka berstatus aliran tunai positif.

“Kandungan yang kami sediakan atau terbitkan sangat mahal mi­salnya kandungan sukan. Bagaimanapun, tolak tepi kos kan­dungan yang tersedia, sooka berstatus aliran tunai positif dan sebab itu, kami masih boleh terus berge­rak maju dan dilanggan pengguna pada kadar sangat berpatutan,” katanya lagi.

YOUNG LEE optimis sooka mampu terus maju dengan penawaran kandungan menarik.

Penaiktarafan utama sooka sejak awal tahun ini termasuk aplikasi yang diperbaharui dengan prestasi keseluruhan dua kali ganda lebih baik, selain sooka TV Stick baharu yang dipertingkatkan.

Kini dengan kandungan sukan 4K ultra high definition (UHD) serta kandungan dan navigasi diperi­badikan, semuanya direka untuk memberikan pengalaman pengguna yang lebih pantas, lancar dan intuitif.

Selain itu, Chatbot dengan bantuan AI kini menawarkan sokongan pelanggan yang pantas, manakala Panduan Program Elektronik (EPG) bersepadu dan tab dinamik (yang bakal dilancarkan di semua platform dalam beberapa minggu akan datang) akan memudahkan navigasi saluran langsung dan kandungan video on demand (VOD).

Sementara itu, menurut Young Lee lagi, jumlah pelanggan sooka menunjukkan peningkatan ketara saban tahun sekali gus membuktikan jenama ini semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

“Setiap tahun jumlah pelanggan sooka berganda. Apa yang kami boleh kongsikan buat masa sekarang adalah pengguna aktif bulanan sooka berjumlah kira-kira 1.1 juta,” jelasnya.

Mengulas tentang persaingan antara sooka de­ngan produk Astro lain seperti Astro GO, Young Lee me­ngakui bahawa kandungan dua entiti itu ada sedikit persamaan, namun masing-masing punya keistimewaan tersendiri.

“Sasaran pelanggan sooka adalah generasi muda sementelah Astro GO adalah mereka yang berumur. Apapun, dua jenama ini saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.

PELANGGAN baharu berpeluang menikmati akses 10 hari percuma sempena ulang tahun ke-4 sooka.

Sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan, sooka menawarkan ganjaran ulang tahun istimewa sehingga 31 Julai 2025. Pelanggan baharu boleh menikmati 10 hari akses percuma kepada pelan Sukan & Hiburan dengan kod promosi HBDSOOKA.

Semua pengguna sooka turut berpeluang memenangi sebuah Smart TV LG 86 inci 4K UHD atau sooka TV Stick setiap hari selama 30 hari. Selain itu, sooka TV Stick (harga pasaran RM349) kini boleh didapati secara percuma dengan pembe­lian pelan enam bulan sooka Premium pada harga RM249.

Tawaran Beli 1 Percuma 1 untuk pas tahunan juga boleh didapati di laman web sooka bermula 25 Jun 2025 untuk masa yang terhad, yang memberikan akses selama 24 bulan pada harga bermula RM149. Layari sooka.my atau ikuti sooka di media sosial untuk maklumat lanjut.

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI