fbpx

Kemalangan MPV: 9 sekeluarga dalam perjalanan ziarah saudara sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHLI keluarga mangsa dilihat menunggu di luar Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin sementara menunggu proses bedah siasat selesai dijalankan. (Gambar kecil: Iris Sofea)

JASIN – Kemalangan maut membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dilaporkan terbabas di Kilometer 189.1 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) pagi tadi dinaiki sembilan sekeluarga yang dalam perjalanan menziarahi saudara sakit di Singapura.

Dalam nahas kira-kira pukul 8 pagi itu, seorang remaja, Iris Sofea Mohamed Siddiq Khan, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tercampak keluar dari MPV jenis Toyota Vellfire, manakala adiknya berusia 11 tahun parah.

Lima ahli keluarga lain termasuk ibunya berusia 41 tahun, datuk dan neneknya masing-masing berusia 63 dan 60 tahun, serta dua adik yang lain berusia tujuh dan empat tahun turut mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan MPV itu tiba-tiba meletup lalu menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan dan terbabas.

“MPV dipandu bapa mangsa berusia 36 tahun telah terbabas merempuh pembahagi tengah jalan di lebuh raya dan remaja itu telah tercampak keluar dari kenderaan tersebut disebabkan impak pelanggaran.

“Dia kemudian telah jatuh di lorong bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Honda City dari arah Johor Bahru yang tidak sempat mengelak,” katanya kepada pemberita lewat petang ini.

KEADAAN MPV Toyota Vellfire yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 189.1 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) dekat Kesang, Jasin, Melaka, pagi tadi.

Ujarnya, kesemua ahli keluarga itu telah dibawa ke Hospital Jasin dan Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Bapa mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Adiknya yang parah kini dirawat di Hospital Melaka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI