fbpx

Hun Sen jadi batu api, tuduh Paetongtarn hina Raja Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kombinasi gambar Paetongtarn dan Hun Sen. - AGENSI

PHNOM PENH – Bekas perdana menteri Kemboja yang berpengaruh, Hun Sen mengkritik Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dengan menuduhnya menghina Raja Thailand dan mengugut untuk mendedahkan rahsia keluarga Shinawatra, ketika ketegangan antara dua negara berjiran itu memuncak.

Hun Sen berkata, kenyataan Paetongtarn tentang panglima tentera Thailand yang digelarnya sebagai ‘lawan’ dalam rakaman telefon bocor semasa perbincangan dengan pemimpin veteran itu mengenai pertikaian sempadan merupakan ‘penghinaan terhadap Raja Thailand’.

“Menghina panglima wilayah sama seperti menghina Raja Thailand kerana hanya baginda boleh mengeluarkan dekri diraja untuk melantiknya,” kata Hun Sen dalam siaran langsung di laman Facebook rasminya.

Anak perempuan bekas perdana menteri kontroversi, Thaksin Shinawatra yang akan menghadapi perbicaraan atas tuduhan menghina institusi diraja minggu depan berdepan kemungkinan dipecat sebagai perdana menteri selepas skandal rakaman telefon itu mencetuskan desakan agar beliau meletak jawatan dan menggoyahkan kerajaannya.

Hun Sen meluahkan kemarahan terhadap keluarga Shinawatra dalam siaran langsung itu, mendakwa beliau telah dikhianati.

“Mereka (keluarga Shinawatra) khianati saya, jadi sekarang saya harus dedahkan mereka,” katanya, seperti dilaporkan laman berita Thailand, The Nation.

“Malah Paetongtarn sendiri tahu beliau juga bersalah,” tambahnya.

Bekas pemimpin Kemboja itu mendakwa, Paetongtarn pernah mengunjungi rumahnya selepas bertemu pemimpin negaranya dan berbincang tentang rancangan Kabinet serta ‘masalah dalaman’ dengannya.

“Tetapi saya memilih untuk tidak memberitahunya hal ehwal dalaman Kemboja kerana jika beliau boleh bercakap begitu terbuka tentang pasukan tentera nya sendiri, saya bimbang suatu hari nanti beliau akan lakukan perkara serupa kepada saya,” katanya, demikian menurut The Nation.

Hun Sen berkata, beliau kini ‘mendedahkan semua rahsia’ kerana Paetongtarn telah menghinanya dan memanggil anak lelakinya ‘tidak profesional’.

Beliau juga mengkritik Thaksin, mendakwa bekas perdana menteri Thailand itu sebenarnya tidak sakit.

“Saya harap Thailand dapat perdana menteri baharu iaitu seseorang yang boleh selesaikan masalah dengan Kemboja, Laos dan Myanmar,” kata Hun Sen, seperti dilaporkan The Nation.

Kerajaan Paetongtarn kini hanya mempunyai majoriti tipis selepas parti konservatif, Parti Bhumjaithai parti kedua terbesar dalam gabungan keluar daripada kerajaan campuran Paetongtarn ekoran skandal rakaman telefon itu.

Parti itu mendakwa bahawa rakaman telefon tersebut telah ‘merosakkan kedaulatan negara, kepentingan rakyat, dan tentera Thailand’.

Pengkritik-pengkritik tempatan membidas Paetongtarn, 38, kerana menghina tentera kuasa besar dalam politik Thailand dan terlalu merendah diri, lalu menyeru beliau meletak jawatan.

Paetongtarn memohon maaf minggu lalu dan berjaya mengukuhkan pakatan kerajaannya. Namun, sekumpulan senator konservatif menghantar petisyen ke Mahkamah Perlembagaan untuk memecatnya.

Mahkamah mungkin membuat keputusan pada Selasa sama ada akan menerima kes itu, tetapi presidennya, Nakharin Mektrairat memberitahu pemberita minggu ini bahawa tempoh masa akan ditentukan oleh panel sembilan hakim.

Jika mahkamah menerima kes tersebut, Paetongtarn mungkin digantung jawatan sementara kes dipertimbangkan, dengan keputusan dijangka mengambil masa beberapa bulan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI