PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengarahkan pasukannya untuk berhubung segera dengan keluarga seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi membantu melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun.
Ia susulan laporan Kosmo! hari ini berhubung impian pelajar berkenaan, Muhamad Syahmi Azril SaidiJamal yang mungkin tidak tercapai walaupun telah menerima surat tawaran untuk mendaftar pengajian di situ kerana kekangan kewangan.
Fadhlina berkata, pihaknya akan menguruskan keperluan pelajar tersebut untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di institut itu.
“Terima kasih kepada semua yang memaklumkan kepada saya tentang berita ini. Alhamdulillah, pasukan saya sedang berhubung dengan keluarga untuk menguruskan anaknda ini meneruskan pengajiaannya ke IPG.
“Anggap sahaja selesai dan mari kita sama-sama mendoakan kejayaan anak ini dalam pengajiannya kelak. Inilah semangat hijrah yang kita mahukan!” katanya melalui Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan keluhan pelajar itu yang meluahkan keluarganya tidak mampu menyediakan wang untuk yuran pengajian jika dia menyambung pelajaran ke IPG.
Bapanya, SaidiJamal Abu Said, 43, hanya seorang penoreh getah dan perlu menanggung dua lagi adik yang masih bersekolah, manakala ibunya Nor Azlinda Ahmad, 38, pula tidak bekerja dan mengidap penyakit kanser payudara tahap empat sejak lebih setahun lalu serta perlukan perhatian yang rapi dan belanja perubatan yang banyak.
Dalam peperiksaan SPM yang lalu, Muhamad Syahmi Azril memperolehi keputusan 5A yang membolehkan hasrat bergelar pendidik semakin hampir.
Bagi mereka yang ingin membantu Muhammad Syahmi Azril boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya 0299541100934925 atau menghubunginya di nombor 0138293035. – KOSMO! ONLINE