MIAMI – Jurulatih Fluminense, Renato Gaucho mengakui pasukannya mendapat tentangan yang sengit daripada wakil Afrika Selatan, Mamelodi Sundowns sebelum berjaya mengekalkan status naib juara Kumpulan F untuk mara ke pusingan kalah mati.
Pada perlawanan di Stadium Hard Rock itu, Sundowns terdesak untuk memburu kemenangan tetapi Fluminense bertahan dengan baik dengan aksi berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan semua empat wakil Brazil dalam saingan Piala Dunia Kelab kali ini termasuk Flamengo, Palmeiras dan Botafogo lolos ke peringkat 16 terbaik.
Kata Gaucho, pasukan telah mengekalkan momentum dengan baik sepanjang 90 minit untuk mengekang segala asakan yang cuba dilakukan oleh Sundowns yang mahu meraih tiga mata berharga.
“Saya rasa kami telah capai apa yang dimahukan untuk melepasi peringkat kumpulan. Secara jujur, kami tidak beraksi dengan baik tetapi saya harap segala kelemahan dapat diperbaiki jika kami impi ke suku akhir pula,” katanya.
Sementara itu, pengendali Sundowns, Miguel Cardoso mengakui kecewa apabila pasukan hanya dibezakan satu mata di belakang Fluminense selepas mengutip empat mata daripada tiga perlawanan.
“Saya rasa kami bermain dengan baik sepanjang tiga perlawanan dan mendapat pujian daripada pasukan lawan. Saya rasa kami tersingkir dengan bermaruah kerana ada kelab lain yang pulang dengan tangan kosong,” katanya. – AGENSI