CHARLOTTE – Chelsea tetap berwaspada dengan ancaman bakal diberikan Benfica menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 di Stadium Bank of America awal pagi Ahad ini.
The Blues dianggap mendapat laluan mudah pada aksi kalah mati meskipun sekadar muncul naib juara D sebelum ini kerana dapat mengelak pertemuan dengan pasukan-pasukan gergasi dunia seperti Bayern Munich dan Paris Saint-Germain (PSG).
Bagaimanapun, Maresca berharap pemain-pemainnya dapat mengekalkan fokus dan tidak memandang terlalu jauh kerana beliau menggunakan pendekatan untuk memberikan perhatian terhadap satu demi satu perlawanan.
“Sangat penting untuk kami meneruskan kemaraan kerana 32 pasukan datang merebut kejuaraan di sini. Sekarang kami menjadi salah satu pasukan yang berada di pusingan 16 terbaik dan berpeluang ke suku akhir.
“Kami tahu Benfica merupakan pasukan yang hebat dan memiliki pemain terbaik selain dibimbing jurulatih berkaliber. Ia akan menjadi satu perlawanan sukar tetapi saya harap kami boleh meneruskan kemaraan,” katanya.
Atas kertas, Chelsea dianggap memiliki peluang lebih cerah untuk mara ke suku akhir memandangkan Maresca merehatkan sebahagian besar pemain penting ketika aksi terakhir peringkat kumpulan Rabu lalu.
“Memang kami perlu untuk melakukan penggiliran pemain, terutamanya bermain dalam keadaan cuaca seperti ini. Sangat penting untuk saya merehatkan beberapa pemain bagi memastikan mereka cergas sepenuhnya,” ujar Maresca. – AGENSI