CHARLOTTE – Kemenangan ke atas Bayern Munich pada aksi peringkat kumpulan memberi suntikan semangat buat Benfica menjelang pertemuan menentang Chelsea pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 di Stadium Bank of America awal pagi Ahad ini.
Di kala ramai meramalkan Bayern akan menjadi juara saingan Kumpulan C, namun Benfica melakar kejutan apabila menang ke atas juara Jerman itu selain tidak pernah tewas.
Ia terus menjadi pembakar semangat buat pemain-pemain Benfica terutamanya pemain pertahanan, Adrian Bajrami berharap mereka dapat mengekalkan aksi tanpa kalah dengan membenam Chelsea.
“Kami adalah Benfica dan objektif kami di sini adalah untuk memenangi semua perlawanan. Sudah tentu kami memasang impian (menjadi juara) dan mentaliti itu perlu ada dalam diri setiap pemain.
“Selepas ini kami akan berdepan satu lagi perlawanan penting dan kami mahu hadiahkan sesuatu buat penyokong. Mereka sentiasa berada di belakang kami, jadi ini sahaja cara kami membalas jasa,” katanya.
Sementara itu, penyerang Benfica, Vangelis Pavlidis berkata, dia dan rakan sepasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan Chelsea meskipun sedar bukan tugas mudah menewaskan juara Liga Konferens Europa berkenaan.
“Kami layak meraikan kejayaan menjadi juara kumpulan kerana kami tidak berdepan laluan mudah. Bagaimanapun, ia sudah pun berlalu dan kami perlu mengalihkan fokus kepada perlawanan seterusnya,” ujarnya. – AGENSI