fbpx

Beregu No. 7 dunia pasang hajat besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAI WUN dan Wei Chong memburu kejayaan lebih berprestij selepas menjuarai Malaysia Masters bulan lalu.

BEREGU lelaki negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong bertekad untuk mengekalkan tempat dalam program Road to Gold (RTG) dan terus bersaing merebut slot ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

Kai Wun menyedari saingan untuk merebut dua tempat ke temasya berprestij itu semakin sengit apabila beberapa pasangan lain yang turut memburu impian sama.

Antaranya seperti beregu No. 1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang merupakan antara sandaran utama negara dalam acara beregu lelaki.

“Semua pasangan termasuk Arif Junaidi-Yap Roy King serta Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian sedang meningkat naik dan mempunyai impian ke Olimpik.

“Saya percaya mereka akan terus bersaing sehingga tempoh kelayakan ditutup. Perjalanan masih jauh dan tiada siapa dapat menjangka apa akan berlaku,” katanya.

Berdasarkan peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), satu negara hanya dibenarkan menghantar maksimum dua wakil dalam acara beregu ke Olimpik, dengan syarat kedua-dua pasangan berada dalam kelompok lapan terbaik dunia pada penghujung tempoh kelayakan.

Tambah Kai Wun, penyertaan dalam program RTG bukannya satu tekanan, sebaliknya menjadi motivasi untuk meningkatkan prestasi serta memberi kelebihan dari segi sokongan pengurusan.

“Ini adalah satu sokongan besar dan kami perlu memanfaatkan peluang sepenuhnya,” ujarnya.

Kai Wun-Wei Chong ketika ini berada di ranking ketujuh dunia selain berjaya meraih kejuaraan Super 500 Malaysia Masters bulan lalu.

Susulan kejayaan itu, mereka kini menyasarkan gelaran dalam kategori lebih tinggi iaitu Siri Jelajah Dunia Super 750 dan Super 1000 selain mahu memperbaiki kedudukan ranking dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI