TAMPIN – Seorang lelaki warga Bangladesh dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai semasa menarik jala berhampiran Rumah Pam Skim Pengairan Kampung Bangkahulu, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 kira-kira pukul 5 petang, sebelum bergegas ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurutnya, mangsa berusia 26 tahun dikenali sebagai Alauddin dilihat terjatuh ke dalam Sungai Gemencheh oleh rakan sekerja membuat benteng oleh sebuah syarikat berusia lingkungan 30-an ketika menarik jala, lalu dihanyutkan ke lokasi pusaran air.
“9 pagi ini dengan kekuatan 50 pegawai dan anggota terdiri daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain lagi, kita memulakan SAR dengan kawasan pencarian sekitar dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya ketika ditemui di Kampung Bangkahulu, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE