KUALA LANGAT – Perjalanan pulang seorang pelajar Kolej Vokasional (KV) Banting ke rumahnya berakhir tragedi apabila maut digilis lori selepas terjatuh dari motosikal di Kilometer 32 Jalan Klang – Banting – Port Dickson di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 petang itu, mangsa merupakan remaja lelaki berusia 17 tahun yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kanchong dari Telok Datok.
Katanya, remaja itu yang menunggang di tengah-tengah lorong telah hilang kawalan dan jatuh ke lorong kanan.
“Sebuah lori tanpa muatan dipandu lelaki berusia 50-an di lorong kanan kemudiannya telah melanggar motosikal tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah terperosok di bawah lori lalu digilis pada tayar belakang sebelah kanan kenderaan berat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Banting.
Sementara pemandu lori itu tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan mendapati mangsa mempunyai lesen memandu dan memakai topi keledar semasa kejadian.
“Pemandu lori dan saksi bebas yang melihat kemalangan serta waris mangsa telah hadir memberi keterangan kepada pihak polis,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222 serta mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, tular beberapa video keadaan mangsa dan tindakan penghantar makanan yang menyusun kasut dan menutup mayat mangsa selepas digilis lori tersebut di media sosial. – KOSMO! ONLINE