SEREMBAN – Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau pemotong dan kayu hoki dalam kejadian di Nilai minggu lalu.
Tertuduh, G. R. Hari Nathan, 29; S. Nantha Kumar, 37; dan M. Mathialagan, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyebabkan kecederaan ke atas J. Navinthiran, 30, secara bersama menggunakan senjata berbahaya di hadapan sebuah restoran makanan segera di Nilai Square, Bandar Baru Nilai, pada pukul 2.30 pagi, 22 Jun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi dua tertuduh, manakala seorang lagi dibenarkan jaminan RM5,000.
Sementara itu, dalam mahkamah berasingan, Nathan dan Navinthiran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyertai rusuhan bersenjata dan memiliki pisau lipat, pisau pemotong dan kayu hoki yang boleh digunakan sebagai senjata di lokasi dan masa sama.
Bagi pertuduhan itu juga, Nantha, Mathialagan mengaku bersalah dan didenda RM3,000. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE