SHAH ALAM – Tokoh pemerkasaan wakaf, Tengku Seri Wangsa Diraja, Tengku Datuk Ramli Tengku Shahruddin Shah diumum sebagai tokoh Maal Hijrah Selangor sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri malam ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, Tengku Ramli, 82, adalah seorang tokoh yang disegani dan telah memberikan sumbangan besar dalam pembangunan agama Islam dan sektor korporat sepanjang empat dekad perkhidmatannya.
Katanya, Tengku Ramli juga telah memanfaatkan kedudukan sebagai Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selama 16 tahun dalam memberi pandangan dan idea mengenai penetapan dasar-dasar MAIS mengenai pentadbiran hal ehwal Islam.
Penganugerahan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – KOSMO! ONLINE