JOHOR BAHRU – Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini bagi tuduhan menerima suapan berjumlah RM3,000, tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Azrul Nazwan A. Rani, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM3,000 daripada seorang pengurus restoran sebagai dorongan untuk dikenakan tindakan undang-undang di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran di Merlin Tower, jalan Meldrum di sini antara pukul 8 hingga 9 malam, pada 25 Julai tahun lalu.
Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru sekali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.-KOSMO! ONLINE