KLANG – Seorang pelajar tingkatan tiga antara dua lelaki yang maut selepas dipercayai terlibat dalam perlumbaan haram empat buah motosikal di Kilometer 51.1 Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa berusia 15 dan 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala dua lagi mangsa berusia 15 dan 24 tahun yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati empat buah motosikal dari arah Laguna Park, Pulau Indah ke Pulau Carey iaitu sebelum Plaza Tol Pulau Indah.
Katanya, kesemua motosikal dipercayai ditunggang secara laju oleh empat lelaki serta bersaing antara satu sama lain sebelum dua daripadanya terjatuh di atas jalan selepas bergesel sesama sendiri.
“Dua lagi motosikal yang datang dari arah belakang gagal membrek lalu merempuh motosikal yang telah terjatuh itu.
“Akibat kemalangan, dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua lagi yang parah dihantar ke HTAR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan insiden tersebut tular menerusi video berdurasi satu minit 30 saat di aplikasi media sosial dengan dua daripadanya maut selepas dipercayai berlumba haram.
Berdasarkan video itu turut memaparkan cebisan ketulan daging mangsa bertaburan di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE