LIVERPOOL – Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool enggan melepaskan peluang apabila kini mencabar Arsenal dan Manchester United untuk mendapatkan servis penyerang berbisa Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres.
Arsenal dan United dilaporkan telah mengadakan perbincangan meluas bersama kem Gyokeres, namun kedua-dua kelab berkenaan gagal mencapai kata sepakat berhubung yuran perpindahan dengan Sporting.
Difahamkan, Sporting menolak tawaran pertama bernilai £46.8 juta (RM271.05 juta) dan bonus tambahan £8.5 juta (RM49.23 juta) buat penyerang yang meledak 54 gol dalam 52 penampilan musim lalu.
Menurut laporan Correio da Manha, Liverpool kini mula merasakan Gyokeres, 27, sebagai calon ideal bagi menggantikan Darwin Nunez yang dikatakan sudah bersetuju untuk menyertai Napoli musim depan.
Liverpool didakwa telah menghubungi Sporting untuk berbincang mengenai yuran perpindahan diletakkan Sporting dianggarkan berjumlah £68.1 juta (RM394.41 juta).
Skuad bimbingan Arne Slot merasakan bintang Sweden itu mampu membantu Liverpool mempertahankan kejuaraan EPL selain memburu gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Liverpool setakat ini sudah membeli tiga pemain baharu iaitu duo Bayer Leverkusen, Florian Wirtz dan Jeremie Frimpong serta tonggak pertahanan Bournemouth, Milos Kerkez.
Sebagai rekod, Sporting tiada pilihan selain menjual Gyokeres dalam jendela perpindahan ketika ini selepas penyerang itu melancarkan mogok tidak mahu lagi menyarung jersi kelab tersebut. – AGENSI