JOHOR BAHRU – Lebih 60,000 pengembara menggunakan perkhidmatan pengangkutan bas awam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) untuk berulang alik ke Singapura, setiap hari.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, sehubungan itu pihaknya berhasrat meningkatkan kualiti perkhidmatan tersebut demi keselesaan pengguna walaupun berdepan beberapa cabaran tersendiri.
“Antara penambahbaikan dibuat ialah pengasingan barisan beratur bermula dari dewan penumpang supaya pengasingan dapat dilakukan awal agar tidak berlaku kesesakan kerana penumpang akan menaiki bas yang berbeza-beza.
“Terdapat lapan jenis bas, dengan enam merupakan bas awam terdiri daripada CW, SBST, AC7, SMRT, SJE dan TranStar, manakala dua yang lain adalah bas kilang dan bas persiaran. Perkhidmatan bas SBST, AC7, SMRT, SJE dan TranStar adalah kendalian syarikat operator Singapura,” katanya selepas melalukan lawatan ke CIQ BSI, di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fazli, pihaknya juga telah menghubungi operator perkhidmatan bas di Singapura agar mereka dapat memulakan perkhidmatan seawal 4 pagi berbanding 5 pagi ketika ini.-KOSMO! ONLINE