IPOH – Kutipan zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di negeri ini meningkat sehingga 858 peratus dalam tempoh 20 tahun.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ini selepas MAIPk berjaya memungut sebanyak RM253,020,010 tahun lalu berbanding RM26.3 juta pada 2004 merangkumi zakat harta dan fitrah.
“MAIPk ditubuhkan pada 1 Muharam 1369 Hijrah bersamaan 23 Oktober 1949 Masihi. Penubuhan MAIPk selaras dengan kuasa yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak (1948).
“Tahun ketiga penubuhan MAIPk pada 1 Mei 1952, kerajaan negeri meluluskan Undang-undang Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.
“Selain berperanan sebagai badan penasihat Sultan mengenai hal-hal berkaitan agama Islam dan adat Melayu, MAIPk juga bertanggungjawab sebagai Baitulmal untuk mengurus berkaitan harta orang Islam terutama zakat dan wakaf di Perak,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Zakat Perak Al Ridzuan (Zapar) di Pusat Zapar di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, selama satu dekad pertama penubuhan MAIPk, hasil zakat yang dikumpul belum mencapai RM400,000.
Titah baginda, ia sekali gus memberi isyarat sama ada kesedaran masih kurang dihayati, bilangan umat Islam yang layak masih kecil, amaun dibayar masih rendah atau minda masih belum berubah daripada amalan tradisi membayar zakat kepada guru-guru agama.
“Kutipan zakat ketika itu lebih tertumpu kepada zakat fitrah dan zakat tanaman dalam kalangan pesawah padi di Mukim Sungai Manik, Seberang Perak dan Kerian,” titah baginda.
Selepas 55 tahun penubuhannya, Sultan Nazrin bertitah, pada 2004, MAIPk merekodkan kutipan zakat bagi semua kategori merangkumi harta dan fitrah berjumlah RM26.3 juta.
“Alhamdulillah, pada 2024, MAIPk merekodkan kutipan zakat berjumlah RM253,020,010, meningkat 858 peratus dalam tempoh 20 tahun terakhir,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE