fbpx

Kota Madani jadi contoh, teladan pembangunan seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) ketika merasmikan Projek Pembangunan Kota Madani di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA – Pembangunan Kota Madani perlu dijadikan contoh teladan untuk pembangunan bandar di seluruh negara yang mana ia tidak hanya ditentukan oleh kehendak pemaju semata-mata, sebaliknya dirancang dengan pendekatan menyeluruh bagi kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu berhenti bergantung sepenuhnya kepada cadangan pemaju serta memainkan peranan utama dalam perancangan bandar.

Katanya, perancangan bandar itu perlu memberi tumpuan kepada aspek budaya, nilai kemanusiaan dan kesejahteraan hidup.

“Kepesatan dan kelajuan pembangunan Kota Madani ini sendiri membuktikan bahawa projek sebesar ini boleh dilaksanakan secara terancang dan menyeluruh.

“Asalkan semua pihak berkaitan termasuk agensi seperti UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta) dan pemilik tanah kerajaan bekerjasama serta mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota Madani di Presint 19 di sini tadi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, perancangan bandar juga tidak hanya berfokus kepada keuntungan, namun perlu memenuhi keperluan rakyat termasuk penjawat awam.

“Penjawat awam tidak boleh menunggu lima tahun untuk perumahan. Kita mesti percepatkan. Kalau sambutan baik dan prosesnya lancar, saya sendiri akan pastikan ia dibawa ke peringkat Kabinet untuk disegerakan.

“Kementerian Pendidikan juga telah memberikan kelulusan segera bagi pembangunan sekolah di kawasan projek, termasuk cadangan sekolah menegak (vertical school) di kawasan padat.

“Sekolah ini tidak perlu semewah seperti di kawasan elit, tapi cukup dengan reka bentuk selesa dan praktikal. Sekolah yang dirancang di Kota Madani ini antara reka bentuk terbaik pernah saya lihat,” katanya.

Projek Pembangunan Kota Madani dibina dengan kos RM4 bilion merupakan pembangunan bersepadu berskala besar yang dirancang bagi mengimbangi keperluan penjawat awam, pembangunan bandar mampan serta kemajuan teknologi.

Projek itu tampil sebagai penyelesaian masalah kekurangan kuarters kediaman menyediakan 10,000 unit kediaman kuarters selain mampu menampung sehingga 35,000 penduduk.

Pembangunan kota itu dilaksanakan Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. secara berfasa di mana fasa 1 melibatkan pembinaan hampir 3,000 unit kediaman dan dijangka siap pada suku keempat 2027.

Selain itu, fasa 1B pula merangkumi pembinaan sekolah bertingkat dijangka siap menjelang suku keempat 2028.

Seluruh projek pula dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tujuh tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI