BACHOK – Projek tanaman bawang yang diusahakan oleh 52 peserta di seluruh Kelantan dijangka mengeluarkan hasil sebanyak 108 metrik tan pada pertengahan Ogos ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, projek tanaman bawang bernilai RM1.4 juta yang diusahakan atas tanah seluas 27 hektar di seluruh negeri itu mampu menampung 30 peratus bahan mentah itu pada masa hadapan.
Menurutnya, projek tersebut merupakan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dengan anggaran hasil berjumlah RM700,000 dalam tempoh 75 hari.
“Projek itu mampu mengurangkan kebergantungan bekalan bawang yang diimport dari negara luar khususnya India dan Cina.
“Kerajaan negeri berharap projek itu mampu mengukuhkan keterjaminan makanan negara pada masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sempena Projek Tanaman Bawang Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Kampung Telong di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE