PRESTASI dua pemain warisan skuad kebangsaan, Hector Hevel dan Jon Irazabal dijangka tidak tergugat meskipun sudah menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim percaya kemudahan dan fasiliti skuad Harimau Selatan setaraf dengan pasukan luar negara selain dibimbing barisan kejurulatihan ternama di peringkat antarabangsa.
Kata Zulakbal, kehadiran Hevel dan Irazabal juga mampu memberikan aura tambahan kepada JDT untuk bersaing lebih sengit dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
“Apabila JDT ada bakat hebat, bawa masuk pemain hebat, mereka sudah bersedia dengan program terbaik dan kita akui kerana mereka pasukan luar biasa dan bukan lagi taraf Liga M.
“Kalau kata penampilan bersama JDT akan menyebabkan prestasi Irazabal dan Hevel menurun, saya tidak setuju kerana fokus utama JDT sekarang ialah ACLE dan bukannya saingan peringkat domestik.
“Di Liga M, mereka turunkan pemain simpanan pun boleh menang dan kalau seri atau kalah saya anggap itu sekadar nasib sahaja. Kita kena akui saingan ACLE sangat kuat dan sekarang JDT ada misi di situ,” katanya.
Sebagai rekod, kedua-dua pemain itu ditandatangani secara percuma selepas kontrak Hevel bersama kelab Liga Portugal, Portimonense SC dan Irazabal (Sabah FK/Liga Azerbaijan) berakhir pada bulan ini.
Selain Hevel dan Irazabal, JDT turut menandatangani pemain muda tempatan, Ibrahim Manusi daripada pasukan Sri Pahang pada awal bulan ini.