PETALING JAYA – Masih diulit kesyukuran, pelakon juga penyanyi Bella Astillah menyifatkan kemenangan besar yang berpihak kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq sebagai ketentuan selayaknya buat lelaki yang baik dan tidak pernah menyerah dalam memperjuangkan kebenaran.
Sebagai wanita yang selalu ada di samping Saddiq, Bella, 31, juga menyifatkan ahli politik muda itu sebagai hero dam individu yang tidak pernah berputus asa meski dihambat kes mahkamah.
“Alhamdulillah tahniah Syed Saddiq. Hari besar untuk lelaki yang baik. Bukan semua hero memakai ‘cape’ (mantel). Ada sesetengah memakai sut dan tidak berputus asa.
“Keadilan ditegakkan,” katanya dalam platform Thread.
Menyorot ruangan komen, Bella ternyata tidak sendirian apabila dibanjiri dengan komen-komen positif, tidak kurang juga ramai mahu melihat mereka segera ke jenjang pelamin sementelah Syed Saddiq sudah tidak terikat dengan kes mahkamah.
“Alhamdulillah, syukur. Dah boleh ‘next chapter’ (fasa seterusnya) ya Bella,” usik netizen.
“Di sebalik lelaki yang berjaya, ada seorang wanita yang sentiasa mrnyokongnya,” tutur peminat.
“Majlis boleh ‘on’, jangan tak ‘on’ tau kalau tidak kami merusuh,” ujar pengikut.
Semalam, Syed Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana ARMADA.
Bella yang hadir memakai baju kurung rona biru dilihat ikut sebak bahkan menangis terharu dan berpelukan dengan ahli keluarga Syed Saddiq sejurus selepas keluar dari dewan bicara.
Momen tersebut dan kehadirannya ke mahkamah hari ini sekali gus menguatkan lagi khabar angin dia dan Syed Saddiq kini menjalin hubungan istimewa meskipun tidak pernah disahkan mereka. -KOSMO! ONLINE