CHARLOTTE – Jurulatih Bayern Munich, Vincent Kompany mengkritik prestasi pasukan yang tidak berada pada tahap memuaskan selepas tewas 0-1 kepada Benfica dalam aksi terakhir Kumpulan C saingan Piala Dunia Kelab semalam.
Pada aksi itu, skuad The Bavaria cuba bangkit selepas ketinggalan menerus rembatan Andreas Schjelderup, tetapi jentera serangan yang dibarisi Thomas Muller, Sergei Gnabry dan Leroy Sane tidak begitu menyerlah.
Kata Kompany, ketumpulan jentera serangan menjadi faktor utama pasukan tidak dapat keputusan yang diharapkan dan kini kekecewaan ini perlu dilupakan segera dengan tumpuan terarah ke pusingan kalah mati minggu depan.
“Saya rasa kita tidak beraksi dengan baik pada babak pertama atas faktor padang dan cuaca yang panas. Namun, kita cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi penjaga gol mereka tampil cemerlang.
“Kini, lebih baik kita fokus pada aksi seterusnya dan kemungkinan selepas ini kita akan bertemu lawan yang lebih sukar seperti Flamengo. Jadi, saya harap pasukan dapat tampil lebih bersedia selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Muller mengakui kesilapan sendiri apabila gagal menyudahkan beberapa peluang terutama situasi satu lawan satu ketika menghadapi penjaga gol pasukan lawan, Anatoliy Trubin.
“Kita bermain dengan baik pada babak kedua tetapi pujian wajar diberikan kepada penjaga gol lawan. Saya harap kita dapat bangkit meraih keputusan lebih positif pada aksi kalah mati nanti,” katanya. – AGENSI