fbpx

Bekas Pengarah JKR tidak mengaku terima RM70,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norman (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM70,000 tanpa balasan.

Tertuduh, Datuk Ir. Norman Md. Rabani, 51, membuat pengakuan itu selepas kelima-lima pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima wang tersebut tanpa balasan daripada seorang subkontraktor yang mempunyai kepentingan dengan syarikat penyelenggaraan bangunan di Sunway Putra Mall antara 10 Ogos 2024 dan 23 Januari lalu.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat mencadangkan jaminan RM25,000 berserta tiga syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam Abdul Hakeem Aiman memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya bukan ahli perniagaan sebaliknya penjawat awam dan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan selain sudah direman selama empat hari.

Menurutnya, tertuduh juga menanggung empat anak berusia 16 dan 24 tahun yang masih belajar serta ibu bapa memerlukan perbelanjaan ubat-ubatan.

“Penjamin kepada tertuduh adalah isterinya yang merupakan pensyarah universiti. Jika jumlah jaminan terlalu tinggi, ia akan memberi tekanan kewangan kepada tertuduh dan keluarganya,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta tiga syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan. Mahkamah menetapkan 20 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI