fbpx

Bebas Syed Saddiq selaras prinsip ‘rule of law’ dan keadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq.

PETALING JAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpendirian keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada semua pertuduhan merupakan sebahagian daripada proses keadilan yang wajar dihormati.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata pihaknya mengambil maklum keputusan mahkamah semalam yang membebaskan Syed Saddiq daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram.

“MCW menghormati keputusan tersebut sebagai sebahagian daripada sistem kehakiman negara yang berjalan mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCW turut menegaskan bahawa dalam kes berprofil tinggi melibatkan integriti dan akauntabiliti awam, semua pihak termasuk rakyat, media serta organisasi masyarakat sivil perlu bersikap tenang dan berhemah.

“Elakkan kenyataan prejudis yang boleh membentuk persepsi tidak adil terhadap mana-mana institusi penguatkuasaan atau kehakiman,” jelasnya.

Tambah Jais, keputusan berbeza antara peringkat mahkamah bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sebaliknya, ia menunjukkan mekanisme semak dan imbang dalam sistem kehakiman sedang berfungsi.

MCW turut menyatakan keyakinan bahawa pendakwaan ke atas mana-mana individu hanya dilakukan selepas penelitian rapi oleh Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“MCW akan terus memantau perkembangan kes ini secara objektif dan menyokong segala usaha pembaharuan terhadap sistem perundangan serta institusi negara demi menjamin keadilan dan integriti,” ujarnya.

Semalam, Kosmo! melaporkan ahli Parlimen Muar itu dilepas dan dibebaskan atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Rayuan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI