TANGKAK – Seorang warga emas dipercayai melakukan kegiatan pecah rumah secara bersiri dengan 39 rekod lampau sekitar daerah ini telah berjaya diberkas dalam satu operasi khas di Melaka semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak melakukan tangkapan tersebut hasil risikan dan maklumat yang diperoleh.
“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 60 tahun yang ditahan di sebuah pangsapuri di Taman Kesidang, Melaka. Hasil tangkapan membawa kepada rampasan pelbagai barangan mewah dan wang tunai dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.
“Pihak polis telah berjaya merampas 19 beg tangan berjenama Louis Vuitton, beberapa jam tangan mewah Patek Philippe, Omega dan Tag Heuer selain wang tunai ringgit Malaysia, dolar Singapura, dolar Amerika Syarikat serta Yuan China,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Roslan, siasatan awal mendapati suspek mempunyai 39 rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan kes pecah rumah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Dengan tertangkapnya suspek pihak polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes pecah di kawasan Bukit Gambir dan Sungai Mati yang menyasarkan rumah-rumah cina,”katanya.-KOSMO! ONLINE