PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan tiada sebarang perancangan untuk melangkah ke fasa serius bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, selepas dibebaskan daripada empat pertuduhan jenayah.
Sebaliknya, Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abd. Rahman, 32, menegaskan mahu menumpukan masa bersama keluarga terlebih dahulu.
“Buat masa ini, saya hanya mahu bawa ibu, ayah dan keluarga keluar makan. Itu keutamaan saya sekarang,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di pekarangan Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada Bella akan turut serta dalam makan malam keluarga itu, Saddiq hanya mengunci mulut.
Bagaimanapun, Saddiq turut menzahirkan rasa terharu terhadap sokongan daripada peminat, termasuk peminat BASS (singkatan nama Bella dan Saddiq) yang tidak henti mendoakan kejayaannya sepanjang tempoh perbicaraan.
“Terima kasih kepada penyokong kami yang setia tanpa perlu disuruh.
“Saya sangat tersentuh. Dua tiga malam lalu mereka adakan bacaan Yasin dan doa selamat untuk saya.
“Hari ini kita sama-sama menangis kerana doa kalian telah dimakbulkan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan membebaskan Saddiq daripada empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan sebulat suara untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dikenakan Mahkamah Tinggi sebelum ini. – KOSMO! ONLINE