PETALING JAYA – Cubaan tiga lelaki termasuk seorang warga asing meloloskan diri dari pihak berkuasa tidak kesampaian apabila mereka berjaya diberkas dalam satu operasi di Batang Kali, Hulu Selangor, awal pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 3 pagi oleh sepasukan anggota dari Cawangan MPV Daerah Hulu Selangor.
“Hasil rondaan dan pemeriksaan sebuah kenderaan mencurigakan di kawasan berkenaan berjaya membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki bukan warga tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut suspek membawa kepada penemuan sebotol cecair disyaki air ketum yang disembunyikan dalam kenderaan dinaiki mereka.
“Susulan penemuan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Kesemua suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE