PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah menyelesaikan siasatan kes dakwaan rasuah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan kes itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi permohonan melucut hak wang tunai berjumlah RM170 juta yang disita dalam siasatan kes itu.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya belum memutuskan sebarang pertuduhan jenayah bersabit kes itu.
“Namun, terpulang kepada Ahli Parlimen Bera itu untuk mencabar permohonan SPRM tersebut di mahkamah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada masa sama, katanya, siasatan terhadap bekas menantu Ismail Sabri, Datuk Jovian Mandagie juga telah selesai dijalankan.
Menurutnya, siasatan ke atas Jovian adalah berkaitan salah satu aset yang menjadi perkara utama dalam kes itu dimana Jovian diperlukan sebagai saksi.
“SPRM kini di peringkat menyempurnakan kertas siasatan dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu. Seterusnya, kes ini dikemukakan kepada TPR untuk cadangan keputusan,” katanya.
Pada 3 Mac lalu, Azam dilaporkan berkata, Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah ‘safe house’.
SPRM turut menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes tersebut.
Difahamkan, kesemua hasil rampasan turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta program publisiti sewaktu Ismail Sabri memegang jawatan Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE