PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan penggunaan wang berjumlah RM11 juta dalam bentuk digital dalam kes dana sukuk pembinaan lebuh raya oleh seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya mendapati, sebaik dana sukuk diperolehi sejumlah wang kemudian dimasukkan dalam akaun digital sebelum dibelanjakan untuk tujuan lain
Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan bagaimana wang itu dikeluarkan dan kemudian digunakan.
“Kita (SPRM) kesan penggunaan wang RM11 juta disyaki daripada dana sukuk lebuh raya. Dana itu digunakan digunakan dalam bentuk wang digital dan dibelanjakan untuk tujuan lain,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya akan memanggil sekurang-kurangnya 10 lagi saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Setakat ini, seramai 55 saksi telah diambil keterangan dan sembilan individu ditahan dengan 14 akaun individu dan lapan akaun syarikat dibekukan membabitkan jumlah keseluruhan RM156 juta, bagi tujuan siasatan.
“Siasatan kes ini akan disiapkan dalam tempoh dua bulan dan sebarang perkembangan terbaru mengenainya akan saya maklumkan,” katanya.
Sebelum ini, SPRM telah menyita RM141 juta aset dalam negara dan RM15 juta aset luar negara dikesan membabitkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang. – KOSMO! ONLINE