JOHOR BAHRU – Projek pembinaan gerbang tol yang dijangka siap pada 15 Disember depan akan mengurangkan kesesakan di kawasan Kong Kong dan Lebuhraya Senai-Desaru, Pasir Gudang di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kemajuan projek tersebut sudah mencapai 20.43 peratus, mendahului masa jadual ditetapkan.
Katanya, projek pembinaan gerbang tol ini merupakan jalan penyelesaian kepada isu pertikaian berkenaan pembukaan jejambat yang telah lama siap.
“Pembinaan jejambat oleh pihak Meridin East Sdn. Bhd. ini telah siap dibina pada 2021 menghubungkan antara kawasan Kong Kong ke Lebuhraya SDE, ia dibina dengan tujuan menyuraikan trafik kawasan perumahan Kong Kong ke kawasan Perindustrian Pasir Gudang dan Tanjung Langsat.
“Jejambat yang menelan kos RM53 juta ini dapat menjimatkan perjalanan dari Jalan J10 ke Pasir Gudang/Tg Langsat yang jaraknya kilometer dan memakan masa kerana kesesakan teruk pada waktu puncak,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan Struktur gerbang tol di Jejambat Meridin East yang berhampiran Plaza Tol Cahaya Baru Lebuhraya SDE.
Mohamad Fazli berkata, pengguna dari Jalan J10 untuk ke Tanjung Langsat/Pasir Gudang perlu melalui Plaza Tol Cahaya Baru dan membuat pusingan U di Plaza Tol Tiram dan kembali ke tol Cahaya Baru semula.
Oleh itu, katanya, pengguna perlu membayar RM11.20 dan menempuh jarak tambahan sejauh 40 km.-KOSMO! ONLINE