fbpx

Program Hulurkan Salam Aidiladha 2025 Bank Rakyat agih 16,890 pek daging korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bank Rakyat telah melengkapkan pelaksanaan Program Hulurkan Salam Aidiladha 2025 dengan agihan keseluruhan sebanyak 16,890 pek daging korban di 18 lokasi seluruh negara.

PETALING JAYA – Bank Rakyat telah melengkapkan pelaksanaan Program Hulurkan Salam Aidiladha 2025 dengan agihan keseluruhan sebanyak 16,890 pek daging korban di 18 lokasi seluruh negara, termasuk lokasi penutup di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.

Program tahunan ini merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat Bank Rakyat dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat, terutamanya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd. Shariff, berkata pelaksanaan ibadah korban bagi tahun ini melibatkan penyembelihan sebanyak 241 ekor lembu dan 159 ekor kambing di seluruh negara.

Jelasnya, agihan daging korban dalam negara adalah daripada para pemegang Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan Surau Al- Barakah MKBR lebih berjumlah RM1.52 juta.

“Program ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama 18 rakan strategik yang terdiri daripada institusi masjid, sekolah, institusi pengajian tinggi, agensi komuniti dan sektor korporat bagi memastikan agihan daging korban dapat disampaikan terus kepada kumpulan sasar.

“Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap usaha memakmurkan masyarakat setempat kerana keteguhannya adalah berkat sokongan anggota dan pelanggan di pelosok negara,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shahril berkata, Bank Rakyat turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM22,500 bagi tujuan bantuan asnaf dan pelaksanaan aktiviti pengimarahan.

“Di peringkat antarabangsa, Bank Rakyat meneruskan pelaksanaan Program Kembara Qurban Kemboja 2025 yang diadakan di Kampung Trapeng Prinh dan Kampung Keh, Kemboja pada 6 hingga 9 Jun lalu.

“Sebanyak 45 ekor lembu telah dikorbankan di kedua-dua lokasi tersebut dan diagihkan kepada komuniti Islam setempat.

“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan Bank Rakyat dalam memperkukuh jaringan kemasyarakatan serta menyemarakkan nilai keinsanan dan perpaduan,” tambahnya.

Selain itu katanya, Bank Rakyat turut menawarkan produk Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah, yang membantu pelanggan menyimpan secara konsisten untuk menunaikan ibadah umrah.

Akaun ini terbuka kepada individu berumur 13 tahun dan ke atas, pasangan atau keluarga dan menawarkan kemudahan kad ATM serta akses kepada perbankan digital.

Pelanggan yang berminat untuk melanggan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban atau Akaun Simpanan-i Ibadah Umrah boleh membuat permohonan secara dalam talian menerusi platform BRICK di https://brick.bankrakyat.com.my, layari laman web, kunjungi mana-mana cawangan Bank Rakyat yang terdekat atau hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1300805454.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI