KANGAR – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul neneknya sendiri dalam kejadian di Kaki Bukit, dekat sini pada Sabtu lalu.
Tertuduh, Mohd. A’izzat Arzami, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Che Minah Man, 74, di hadapan sebuah rumah di Batu 16, Jalan Kaki Bukit kira-kira pukul 5 petang mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Afida Nurizzatie Abdul Lateh.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000, namun peguam memohon pengurangan atas alasan anak guamnya kehilangan ibu bapa dan kini tinggal bersendirian di Kaki Bukit.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan syarat tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa sepanjang kes berlangsung. Kes disebut semula pada 21 Julai depan. – KOSMO! ONLINE