SEBERANG PERAI – Seorang lelaki maut selepas jentera penggelek yang dipandu terbabas lalu terbalik ke dalam parit di Jalan Permatang Rambai, Kepala Batas di sini, petang tadi.
Mangsa berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di bawah jentera dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian berlaku.
Menurutnya, operasi menyelamat diketuai oleh Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda, Mohd. Yusni Manshor dan jarak lokasi kejadian adalah terletak kira-kira 8 kilometer.
“Terdapat seorang mangsa tersepit di bawah jentera penggelek tersebut dan mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kejadian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7 malam tadi. – KOSMO! ONLINE