SEREMBAN – Seorang Pegawai Rancangan Tanah Felda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki untuk menurunkan tandatangan berkaitan kerja-kerja membaik pulih Pusat Pengumpulan Getah Felda Lui Selatan 1 dan 2, dua tahun lalu.
Tertuduh, Eddy Khirin Bunaim, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curangnya telah menipu seorang lelaki berusia 68 tahun dengan mendorong beliau untuk menurunkan tandatangan pada cek bank milik Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Lui Selatan 1 bagi tujuan pembayaran wang berjumlah RM12,000 kepada pembekal seorang individu.
Ia sebagai pendahuluan untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih Pusat Pengumpulan Getah Felda Lui Selatan 1 dan 2 sedangkan individu itu bukanlah pembekal yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Bahau pada 16 Mac 2023. Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara minimum setahun atau tidak melebihi 10 tahun, sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahaya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.