fbpx

Parlimen Iran lulus pelan gantung kerjasama dengan IAEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar satelit yang dirakam kelmarin menunjukkan gambaran keseluruhan kemudahan pengayaan nuklear Isfahan di tengah Iran. - AFP

TEHRAN – Jawatankuasa Keselamatan Negara bagi Parlimen Iran meluluskan pelan utama rang undang-undang yang bertujuan untuk menggantung sepenuhnya kerjasama Tehran dengan badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor agensi berita Tasnim.

Memetik jurucakap jawatankuasa itu, Ebrahim Rezaei, mengikut rang undang-undang tersebut, pemasangan kamera pengawasan, membenarkan pemeriksaan dan menyerahkan laporan kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akan digantung selagi keselamatan kemudahan nuklear tidak terjamin. 

Parlimen bagaimanapun masih perlu meluluskan rang undang-undang itu dalam pleno.

IAEA pada bulan ini menerima resolusi yang mengecam kegagalan Tehran untuk bekerjasama dengan agensi berkenaan berhubung program nuklearnya, lapor portal berita South China Morning Post.

Sementara itu, laman berita Shafaq News memetik Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Mohammad Eslami sebagai berkata, Tehran akan meneruskan program nuklearnya tanpa gangguan.

Eslami memberitahu stesen penyiar negara, IRIB bahawa penilaian kerosakan kepada kemudahan nuklear masih diteruskan, manakala pakar berkata, sejauh mana kemusnahan daripada serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini masih tidak jelas.

IAEA menggesa agar aktiviti pengesahan nuklear di Tehran disambung semula dengan segera.

“Pemeriksaan telah digantung selepas serangan, tetapi pasukan teknikal kekal di Iran dan bersedia untuk meneruskan pengesahan, termasuk pemeriksaan ke atas pengayaan uranium pada tahap 60 peratus,” kata Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI