SERDANG – Meskipun lahir dalam keluarga seni, pelakon baharu Aydeel Idham enggan bersandar pada nama besar bapanya iaitu pengarah dan pelakon terkenal, Dr. Ahmad Idham semata-mata untuk menapak dalam dunia lakonan.
Aydeel, 21, sebaliknya memilih untuk menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum diberi keizinan bapanya untuk melangkah ke depan sebagai anak seni.
“Papa pesan, kalau nak masuk industri perlu ada pelajaran, sekurang-kurangnya degree (ijazah sarjana muda).
“Alhamdulillah, saya sudah tamatkan degree dalam bidang Seni Sinematik di Multimedia University (MMU),” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di set penggambaran filem Impak Maksima, baru-baru ini.
Tambah anak kedua daripada empat beradik itu, sejak kecil lagi dia sudah didedahkan dengan suasana kerja di set penggambaran.
Katanya, minat terhadap seni tumbuh seiring waktu, namun bapanya menetapkan syarat agar dia masuk ke dalam industri dengan bekalan ilmu dan tahap pendidikan yang mencukupi.
“Sejak usia lapan tahun, saya sudah minat dunia seni. Tambahan pula saya dibesarkan dalam keluarga yang sentiasa terlibat dalam bidang ini.
“Setiap minggu saya tengok sendiri suasana di set penggambaran. Lama-lama jadi jatuh cinta,” ujarnya.
Tiada jalan pintas, Aydeel tetap turun padang menghadiri sesi uji bakat dan belajar selok-belok industri seperti anak seni lain.
“Saya lebih suka bermula daripada bawah. Pada saya, itu bukan jalan pintas walaupun ayah saya orang industri.
“Saya masih pergi uji bakat macam biasa. Papa pun suruh lalui semua proses supaya saya kenal realiti sebenar dalam dunia seni,” tambahnya.
Menceritakan pengalaman kali pertama berlakon di bawah arahan bapanya sendiri, Aydeel mengakui tiada layanan istimewa diberikan malah Ahmad Idham kekal tegas dan profesional di lokasi.
“Papa sangat tegas di set. Walaupun saya anak dia, layanan tetap sama macam pelakon lain.
“Kadang-kadang dia garang, tapi saya faham semua itu untuk kebaikan. Saya ambil setiap teguran sebagai satu proses pembelajaran,” kongsinya.
Selain Aydeel, Impak Maksima 2 yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 17 Julai depan turut menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof, Arfie Shah dan Nelissa Nizam. – KOSMO! ONLINE