fbpx

Malaysia, Kyrgyz jalin kerjasama perbankan Islam, sektor halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kanan) bersama Zhaparov ketika sidang akhbar dan Majlis MoU antara Malaysia dan Kyrgyz di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya hari ini. - Foto FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA- Malaysia dan Kyrgyz bersetuju bekerjasama dalam membangunkan perbankan Islam serta memperkukuh perdagangan produk halal dengan menawarkan kepakaran dalam kedua-dua sektor bagi membantu membangunkan kemudahan dan perkhidmatan berkaitan di negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam pertemuan bersama Presiden Sadyr Zhaparov, kedua-dua pemimpin membincangkan penubuhan bank Islam bagi mewujudkan sistem kewangan yang lebih kukuh.

“Sudah tentu kami membincangkan isu perbankan Islam, halal, pembinaan, penyusunan kewangan dan program termasuk penubuhan bank-bank Islam.

“Akan ada pertemuan susulan antara para menteri kami. Presiden Zhaparov membawa menteri-menteri utama ke Malaysia dan rakan-rakan saya pasti akan memberikan maklum balas.

“Ia bukan sahaja untuk memperkukuh kefahaman dan persahabatan, tetapi juga untuk memastikan program serta projek dua hala dari segi pelaburan dan perdagangan dapat diteruskan,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Zhaparov di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia dan Kyrgyz turut bersetuju untuk meneroka Pelan Tindakan Kerjasama Halal yang dicadangkan oleh Presiden Zhaparov.

“Semua ini akan diteroka lebih lanju dan sudah tentu, anda (Republik Kyrgyz) mempunyai kapasiti besar dalam tenaga hidro, tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang sangat menarik untuk Malaysia kaji, fahami dan manfaatkan,” katanya.

Republik Kyrgyz memiliki potensi besar dalam tenaga hidro yang merupakan sumber utama tenaga elektrik di negara itu merangkumi hampir 90 peratus daripada pengeluaran elektrik nasional.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Malaysia dan Kyrgyz bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan dengan penekanan kepada usaha mempererat hubungan rakyat dengan rakyat di samping memperluaskan potensi sosial dan ekonomi kedua-dua negara.

Sehubungan itu, Anwar berkata Malaysia akan menyalurkan bantuan teknikal dan pendidikan melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) kepada rakyat Republik Kyrgyz. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI