PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon rakyat Malaysia mendoakan agar keadilan berpihak kepada yang jujur menjelang keputusan rayuan kesnya di Mahkamah Rayuan Putrajaya esok.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkongsi coretan ringkas menggambarkan lima tahun yang dilaluinya sebagai satu tempoh penuh ujian.
“Lima tahun diuji. Esok semoga keadilan menyebelahi yang jujur. Tolong doakan,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial dan pengikut beliau yang rata-ratanya menitipkan kata-kata semangat dan sokongan moral menjelang keputusan penting itu.
“Semoga dipermudahkan semuanya esok YB (Yang Berhormat)! Kami sentiasa di belakang.” kata Sharlin.
“Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan,” ujar Yujian.
“Selamat maju jaya,” kata Ain.
Nasib Syed Saddiq berhubung sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) akan diketahui esok di Mahkamah Rayuan.
Ini sama ada Syed Saddiq, 33, berjaya mengetepikan sabitan dan hukuman atau kekal bersalah yang akan ditentukan panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Syed Saddiq diwakili peguamnya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan mewakili pendakwaan selaku responden. – KOSMO! ONLINE