KANGAR – Seorang lelaki Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah stesen kereta api, dekat sini pada 11 Jun lalu.
Tertuduh, Mahmud Chaidilok, 21, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Majistret Norshahida Abdul Rahim. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar ganja seberat 2,987 gram di Stesen Keretapi Bukit Keteri, Padang Besar, dekat sini kira-kira pukul 9.40 malam, 11 Jun lalu. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 .
Mahmud turut berdepan pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar kira-kira pukul 4 pagi keesokan harinya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Azmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Kes disebut semula pada 30 September depan. – KOSMO! ONLINE