fbpx

Lelaki Rohingya cuba rasuah polis didenda RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMID (kiri) mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Gara-gara cuba merasuah anggota polis pada bulan lalu, seorang lelaki etnik Rohingya didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Hamid Husson Abul Husson, 22, yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Priscilla turut memerintahkan Hamid dipenjara selama dua bulan jika gagal membayar denda dikenakan dan tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan suapan wang tunai RM150 kepada seorang anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Balai Polis Kodiang di Jalan Kampung Kubang Menerong, Padang Sera, Kodiang dekat sini kira-kira pukul 4.30 petang, 25 Mei lalu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kerana tidak memiliki lesen memandu.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharuddin sementara tertuduh diwakili peguam, Nursyafiqin Ahmad.

Nursyafiqin dalam rayuannya berkata, ia merupakan kesalahan rasuah pertama tertuduh sepanjang tujuh tahun berada di negara ini.

“Tertuduh bekerja sebagai petani dengan pendapatan RM1,000 sebulan yang mana bayaran ikat jaminnya sebanyak RM10,000 sebelum ini adalah pinjaman daripada majikan. Dia perlu bekerja keras untuk membayar semula wang tersebut,” katanya.

Selain itu, katanya, tertuduh juga perlu menanggung isteri, anak dan seorang ibu yang uzur. Sehubungan itu, beliau memohon hukuman yang ringan dikenakan kepada tertuduh.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon hukuman setimpal bagi memberikan pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat memandangkan rasuah adalah satu kesalahan yang serius. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI